Sunday, 12 August 2012

It's just too early .

Perkahwinan bukanlah pengakhiran pada sesebuah hubungan. Ia hanyalah permulaan kepada fasa baru kehidupan. Ketetapan hati untuk melangkah ke alam perkahwinan dalam usia yang muda, bukanlah semudah seperti yang digambarkan, namun bukan juga mustahil apabila sudah benar-benar bersedia. 
Semua insan punya hati dan perasaan, yang akhirnya akan membentuk harapan dan impian. Semua punya impian untuk melangkah ke alam perkahwinan bersama yang tersayang. Namun, kita perlu matang dalam membuat keputusan penting dalam hidup ini. Melangkah ke alam perkahwinan adalah sesuatu yang tidak begitu sukar namun melayarinya lah yang terlalu sukar untuk dipertahankan jika diri belum benar-benar matang. 
Jangan mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga kerana melihat rakan-rakan sebaya sudah pun mendirikan rumah tangga. Perjalanan hidup manusia adalah berbeza. Kita sering dengar, orang lain kata perkahwinan akan dapat buat kita bersemangat untuk belajar. Ya, memang ada benarnya, namun jika kita fikir sedalam-dalamnya, tidak perlu menyandarkan kepada insan lain cukuplah sekadar mengingati jasa ibu dan ayah, sudah cukup buatkan kita bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh dan berjaya hingga ke puncak kejayaan.
Orang kata lagi, perkahwinan dapat mengelakkan kita dari melakukan perkara yang terlarang. Ya, memang benar. Namun, fikir juga dengan sebaiknya, kita sudah besar, kita dapat membezakan yang mana baik, yang mana buruk, yang mana memberi kita kebaikan dan yang mana membinasakan hidup kita. Semuanya adalah pilihan diri sendiri, jadi bijaklah mencorakkan masa depan. 
Orang juga sering berkata, hidup ini tidak lama, mereka takut jika umur tidak panjang, tidak dapat merasa kebahagiaan berumah tangga. Usah resah dengan keadaan tersebut, yakinilah perancangan Allah Taala, sesungguhnya perancangan Allah Taala adalah sebaik-baik perancangan. Kesabaran kita, jika bukan sekarang, akan ada satu ketika yang dikehendaki, dikurniakan jua. 
Kebahagiaan ibu bapa adalah apabila melihat anak-anaknya berjaya dalam pelajaran, juga beroleh kebahagiaan dalam melayari alam rumah tangga yang penuh keberkatan Ilahi. 



No comments:

Post a Comment